Anggota polis sedang berbaris bagi melakukan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Anggota polis sedang berbaris bagi melakukan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Rakyat perlu memilih parti yang memiliki majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka bagi membolehkan kestabilan politik dicapai, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Katanya, beliau yakin rakyat negeri ini sudah dapat menilai kestabilan politik yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) yang memiliki pelbagai rancangan dan pelan strategik bagi manfaat semua.

Bagaimanapun, katanya, usaha itu tertangguh akibat tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang tamak kuasa sehingga memperjudikan nasib rakyat.

"Kini kuasa dikembalikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan mereka perlu bijak memilih.

"Pelbagai rancangan dibuat ketika pentadbiran BN, namun tertangguh disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah ahli politik.

"Keyakinan pelabur terhadap Melaka juga perlu dikembalikan kerana sektor ekonomi dan sosial baru saja kembali pulih selepas memasuki Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat," katanya ketika melawat petugas media NSTP, di sini.

Dalam sidang media sama, Sulaiman menegaskan kerajaan negeri mengambil berat kebajikan semua kaum termasuk kaum India di Melaka.

Katanya, pembangkang yang memainkan isu tapak pembuangan abu mayat hanya sekadar mahu mengelirukan masyarakat India di negeri ini.

"Beberapa cadangan tapak sebelum ini sudah dibuat, namun ia dilihat tidak bersesuaian untuk jangka masa panjang.

"Justeru, satu lokasi sudah dikenal pasti dan bersesuaian untuk jangka masa panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 9:47 AM