DARI kiri; Othman, Mohd Ali dan Mohd Amin Fuad. FOTO Hassan Omar
DARI kiri; Othman, Mohd Ali dan Mohd Amin Fuad. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Melaka: Rakyat negeri ini berharap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok, mampu menamatkan kemelut politik ciptaan ahli politik sendiri kerana rakyat sudah bosan dengan keadaan itu.

Rata-rata yang ditemui berdoa supaya PRN mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang bukan saja stabil, malah mampu membawa kemakmuran berasaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

Othman Ibrahim, 63, berkata, rakyat terkejut apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Dalam keadaan tiada apa-apa, tiba-tiba saja politik Melaka bergolak apabila empat Adun itu menarik sokongan terhadap Sulaiman seterusnya diikuti dengan pembubaran Dun.

"Kami sebagai rakyat amat bimbang dengan pandemik Covid-19 yang masih belum reda, tetapi orang politik sibuk berbalah semata-mata untuk berebut kuasa," katanya ketika ditemui di Pengkalan Balak, di sini, hari ini.

Mohd Ali Abu Bakar, 52, pula berkata, PRN tidak sepatutnya diadakan dalam keadaan Melaka masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, PRN terpaksa diadakan bagi membolehkan kerajaan baharu dibentuk untuk mentadbir dengan baik dan saya berharap kali ini kerajaan yang lebih kukuh mampu dibentuk.

"Kita tidak seharusnya membuang masa dengan terlalu banyak berpolitik kerana lagi banyak kita bermain politik, lagi banyak kerja kita tergendala," katanya.

Nelayan pinggir pantai itu berkata, pengundi harus bijak menggunakan kuasa untuk memilih ahli politik yang mampu melakukan kerja dan bukannya sekadar bijak berpidato, tetapi kebajikan rakyat dipinggirkan selepas menang PRN.

Bagi Mohd Amin Fuad Ramli, 32, parti mana pun yang berjaya membentuk kerajaan negeri perlu mengutamakan kebajikan rakyat.

"Masih ramai rakyat hidup susah dan ada sesetengahnya makan nasi hanya sekali sehari dan mereka amat berharap kerajaan membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, tiada guna PRN diadakan jika sekadar untuk membolehkan pihak tertentu menjadi pemimpin sedangkan masih ramai anggota komuniti yang terpaksa bergelut dengan masalah untuk mendapatkan wang akibat pandemik Covid-19.

"Saya minta ahli politik supaya tidak lupa mengenai tanggungjawab mereka membantu kehidupan rakyat yang terpaksa bergelut dengan kos sara hidup yang tidak pernah turun," katanya.

Seramai 476,037 pengundi biasa daripada 495,195 pengundi berdaftar dijangka keluar mengundi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 12:26 PM