FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pemandu peribadi yang mengasari pemandu kereta dengan topi keledar di sebuah stesen minyak di Jalan Duta, menghala ke utara, di sini, yang tular di media sosial ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 38 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah dadah pada 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes terbabit.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah.

"Dalam kes ini, polis merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan topi keledar.

"Berdasarkan keterangan suspek, kereta mangsa dipandu lelaki berusia 64 tahun masuk ke petak pam minyak di mana suspek hendak mengisi minyak motosikalnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, suspek yang tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

"Akibat kejadian itu, mangsa menerima rawatan di hospital sebelum dibenar keluar wad, hari ini.

"Keterangan lanjut mangsa akan dirakam apabila mangsa pulih dan bersedia untuk memberi keterangan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek direman tiga hari hingga Selasa ini.

Media semalam melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang mengasari seorang pemandu kereta dengan menggunakan topi keledar di stesen minyak di Jalan Duta.

Insiden berkenaan dikesan menerusi video berdurasi 43 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter pada jam 11.31 pagi, semalam.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:54 PM