SEORANG lelaki direman tiga hari selepas ditahan akibat bertindak menghalang tugas penjawat awam serta mengeluarkan kata-kata kesat. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG lelaki direman tiga hari selepas ditahan akibat bertindak menghalang tugas penjawat awam serta mengeluarkan kata-kata kesat. FOTO Ihsan PDRM
Izz Laily Hussein


Kulai: Lelaki direman tiga hari selepas ditahan malam semalam, akibat bertindak menghalang tugas polis serta mengeluarkan kata-kata kesat.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, lelaki warga tempatan itu dikesan menunggang motosikal secara melawan arus tanpa memakai topi keledar.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek bertindak memecut laju motosikalnya sebaik menyedari kehadiran anggota Balai Polis Senai yang sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah di Jalan Senai Jaya, Senai di sini.

"Anggota polis terserempak lelaki tempatan menunggang motosikal secara melawan arus dengan tidak memakai topi keledar.

"Bagaimanapun, penunggang motosikal itu kemudian memecut laju sehingga sampai di sebuah rumah.

"Anggota polis kemudian meminta suspek mengeluarkan kad pengenalan diri bagi tindakan saman, namun suspek enggan memberi kerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat serta mengancam keselamatan anggota," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek ditahan di hadapan rumahnya itu di Taman Senai Jaya, Senai sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil semakan, suspek tiada rekod lampau sama ada jenayah atau dadah.

"Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin kemudian membenarkan suspek direman tiga hari bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada masa sama, Beng Yeow menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar batasan undang-undang.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja melanggar undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 1:02 PM