SHAHRIR Abdul Samad. FOTO arkib NSTP
SHAHRIR Abdul Samad. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pembubaran Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), bukan semudah dengan menekan butang kerana negara serta negeri mempunyai Perlembagaan.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, negara ada Perlembagaan yang perlu dipatuhi begitu juga negeri turut ada perlembagaan masing-masing.

"Dah reda sikit, saya nak jawab sikit.

Negara kita ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan Tuan Yang Terutama Ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

"Nak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan 'tekan butang' sahaja.

"Ada prosesnya. Ia tertakhluk kepada proses di bawah Perlembagaan yang membabitkan peranan Ketua Negara atau Ketua Negeri.

"Tak semudah dengan 'tekan butang' sahaja," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya - Tok Uban, hari ini.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dilaporkan menyelar tindakan Shahrir yang mencabar BERSATU menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor.

Cabaran itu dilontarkan Shahrir yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru yang dilaporkan mencabar BERSATU menarik sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang diterajui UMNO.

Ia susulan Muhyiddin ketika berucap pada satu majlis di Shah Alam, sebelum ini, menyifatkan UMNO sebagai parti yang mementingkan diri sendiri walaupun ketika rakyat berdepan ancaman Covid-19.

Sementara itu, Shahrir turut menjawab dakwaan UMNO tidak membantunya ketika beliau tewas kerusi Parlimen Johor Bahru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Soal 'saya jatuh UMNO tidak sokong' pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Itu, kalau kita masih boleh ingatlah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 10:21 AM