TNB.
TNB.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan awal menghadapi musim tengkujuh di Terengganu, Pahang dan Perak dengan mengurangkan paras air di tiga empangan skim hidroelektrik miliknya bagi menampung peningkatan kapasiti air.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti pada kenyataan berkata, ketiga-tiga empangan TNB di Tasik Kenyir, Cameron Highlands dan Sungai Perak kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat.

"Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan," katanya.

Menurut Nor Azman, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

"Kapasiti empangan TNB menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata, air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan TNB.

Nor Azman berkata, TNB turut mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak berkaitan bertindak pada musim banjir.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengutamakan aspek keselamatan, sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.

Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat.

Untuk maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan dan bekalan elektrik, boleh hubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 12:49 PM