GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) memutuskan pintu sempadan dibuka kepada pelancong antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan negara.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil berikutan pemulihan sektor pelancongan negara agak perlahan disebabkan ketiadaan pelancong antarabangsa.

Selain itu, katanya, operator sektor berkenaan memerlukan masa untuk memulakan perniagaan mereka.

"Mengambil kira tahap pencapaian program vaksinasi negara yang amat baik, mesyuarat memutuskan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari 2022 bagi mempercepatkan pemulihan bagi sektor pelancongan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MPN ke-5, hari ini.

Menurutnya, mesyuarat dimulakan dengan taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai perkembangan terkini indikator berkaitan Covid-19.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan perkembangan dicapai khususnya trend penurunan kes positif harian, kematian, kemasukan kes kategori 3 hingga 5 ke hospital dan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang mencapai 95 peratus dan remaja pada 76.7 peratus pada masa ini.

"Namun, kita masih perlu kekal berwaspada dengan terus mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sementara kerajaan meneruskan pemberian suntikan vaksin kepada yang belum menerima vaksin atau belum lengkap dan dos penggalak," katanya.

Menurutnya, mesyuarat diteruskan dengan taklimat mengenai prestasi sektor dan sub-sektor ekonomi oleh Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

"Indikator menunjukkan prestasi ekonomi pada suku tahun kedua 2021 masih lagi di bawah paras pra-pandemik untuk hampir kesemua sektor ekonomi kecuali sektor pembuatan.

"Mesyuarat juga dimaklumkan prospek ekonomi negara bagi suku ketiga dan keempat tahun ini menunjukkan keadaan ekonomi masih mencabar.

"Oleh yang demikian, bagi mencapai kadar pertumbuhan yang disasarkan bagi tahun ini, usaha berlipat ganda, pantas, bersepadu dan mengikut keutamaan bagi meningkatkan ekonomi ditekankan oleh MPN," katanya.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga dimaklumkan perkembangan terkini berkaitan penambahbaikan keberkesanan pengesanan kontak melalui penerapan teknologi yang dipersetujui dalam mesyuarat MPN ke-2 sebelum ini.

"Penambahbaikan ini sangat penting sebagai salah satu kaedah pengawalan penularan Covid-19 sementara kita membuka kegiatan ekonomi dan sosial menuju fasa endemik.

"Ia bermula secara berfasa dan MPN bersetuju supaya pelaksanaan secara menyeluruh dibuat selewat-lewatnya Januari 2022," katanya.

Katanya, lanjutan daripada perbincangan mengenai keperluan tenaga kerja dalam mesyuarat sebelum ini, mesyuarat turut mendapat taklimat berhubung status pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Asing daripada Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

"MPN mengambil maklum langkah penambahbaikan program itu yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia yang boleh membantu mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi pelbagai sektor ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:36 PM