GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib, kata Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, syor itu antara yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN di sini hari ini adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

"Namun pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa penularan Covid-19 dalam negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini.

Muhyiddin berkata, ujian saringan Covid-19 perlu dilakukan sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan berpandukan syor daripada Kementerian Kesihatan (KKM), dan KKM akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata, cadangan pembukaan semula sempadan negara itu sepatutnya tidak terhad kepada negara tertentu sahaja sebaliknya dibuka kepada semua negara.

"Dalam taklimat tadi, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) memaklumkan varian Omicron sudah berada di seluruh dunia, jadi kita tidak boleh pilih-pilih negara," katanya.

Beliau berkata syor berkenaan juga boleh dilaksanakan memandangkan sistem pengurusan kesihatan awam negara mampu mengawal penularan varian Omicron berdasarkan pengalaman lepas selain mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi.

Muhyiddin berkata, MPN mengesyorkan kerajaan melaksanakan pelarasan bagi semua jenis bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disediakan agensi pembiaya kerajaan dan sistem perbankan negara, supaya lebih sistematik.

"Ia bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tidak berlaku pertindihan, malah lebih ramai pengusaha yang terjejas dapat menerima bantuan," katanya.

Muhyiddin berkata MPN turut ambil maklum industri pembinaan negara pada masa ini menghadapi isu kenaikan harga bahan binaan, kekurangan pekerja asing dan turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta ambil maklum bahawa industri itu penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, katanya MPN menyokong cadangan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) mengenai penyelesaian segera dan jangka masa panjang berkaitan industri pembinaan.

Ditanya mengenai SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bekas perdana menteri itu berpandangan ia perlu dilonggarkan bagi memastikan sistem demokrasi lebih telus.

"Mereka yang terlibat dalam PRN mendapat peluang untuk berkempen tetapi dengan batas-batas tertentu," kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden Bersatu.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata PRN Johor boleh diteruskan memandangkan varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.

Khairy juga berkata, syor bagi SOP PRN Johor telah dimuktamadkan dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum diumumkan tidak lama lagi.

Muhyiddin turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MPN berkuat kuasa 1 Februari lalu, yang akan bertanggungjawab mengetuai pasukan dalam penggubalan hala tuju serta strategi Pelan Pemulihan Negara 2.0.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 3:06 PM