Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kerajaan negeri sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam memperhalusi kaedah menggantikan kekosongan guru yang enggan divaksin di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, segala keputusan dibuat mengikut dasar yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan guru yang enggan yang mengambil vaksin ini atau masih belum mengambil vaksin.

"Kerajaan negeri melalui pihak JPN sendiri sudah pasti akan mengikut dasar dan juga polisi yang ditetapkan KPM berkaitan isu ini.

"Cumanya, berikutan dengan adanya kekosongan guru yang tidak dapat hadir ke sekolah (kerana enggan dan belum divaksin) seperti guru cuti bersalin dan sebagainya pihak JPN akan mencari guru ganti bagi mengisi kekosongan itu," katanya.

AHMAD Saidi Mohamad Daud menandatangani plak sebagai gimik menyempurnakan pelancaran IEM Student Center dan Karnival Kerjaya, di sini, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
AHMAD Saidi Mohamad Daud menandatangani plak sebagai gimik menyempurnakan pelancaran IEM Student Center dan Karnival Kerjaya, di sini, hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan pelancaran The Institution Of Engineers, Malaysia (IEM) Student Center dan Karnival Kerjaya di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar di sini, hari ini.

Ahmad Saidi turut mengulas apabila ditanya pemberita tentang sama ada guru yang enggan di vaksin akan diberikan tugasan lain.

"Setakat ini, belum ada satu kenyataan yang jelas berkaitan dengan guru yang enggan menerima vaksin dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah ini, sama ada mereka akan diberikan tugasan lain atau tidak.

"Kita masih lagi menunggu keputusan daripada pihak kementerian berkaitan hal ini daripada semasa ke semasa," katanya.

Semalam, dilaporkan kerajaan negeri meletakkan kepercayaan kepada JPN serta pentadbiran sekolah bagi menguruskan isu 279 guru di negeri itu yang enggan divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 3:19 PM