Rozieana Ahmad
Rozieana Ahmad
Aizat Sharif


Arau: Tiga daripada 26 guru di Perlis yang sebelum ini enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 menukar pendirian dan setuju berbuat demikian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) negeri Rozieana Ahmad berkata, setakat ini pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masih berunding dengan guru yang enggan divaksin untuk berbuat demikian demi keselamatan kesihatan murid dan pelajar.

"Buat guru yang belum mengambil vaksin, kita masih beri ruang dan saya yakin JPN dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengubah fikiran (mengambil vaksin).

"Malah, sudah mula ada perubahan apabila hanya 23 guru sahaja yang masih belum mengambil vaksin," katanya kepada media hari ini.

Menurut beliau, pihaknya jika boleh mahu memastikan guru terbabit tidak dikenakan tindakan seperti yang ditetapkan.

"Saya mohon, guru yang masih enggan divaksin, tolong fikirkan masak-masak demi kepentingan pendidikan murid dan pelajar," katanya.

Rozieana berkata, ada kemungkinan guru yang masih enggan divaksin tetap boleh hadir ke sekolah untuk bertugas namun hanya dibenarkan mengajar menerusi kaedah maya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaporkan, ada 26 guru di Perlis yang enggan divaksin atas pelbagai alasan termasuk masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 5:07 PM