Mohd Faisal menunjukkan barang kes rampasan kesalahan dadah yang akan dilupuskan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI
Mohd Faisal menunjukkan barang kes rampasan kesalahan dadah yang akan dilupuskan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini. FOTO AHMAD HASBI
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebanyak 30 peratus tangkapan berkaitan kes dadah dilakukan di kawasan Felda di negeri ini sepanjang tahun ini sekali gus menjadikan penempatan itu sebagai 'hotspot' aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, seramai 4,334 individu ditahan tahun ini bagi pelbagai kesalahan dadah terdiri 1,298 pengedar, 734 memiliki dan 2,303 penagih dadah.

"Seramai 80 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan 238 individu disiasat di bawah Seksyen 39 C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis menganggarkan sebanyak 30 peratus daripada tangkapan adalah di kawasan Felda di negeri ini. Bagaimanapun, masalah dadah di tanah rancangan itu masih terkawal.

"Faktor persekitaran dan pengaruh rakan dikesan menjadi punca mereka terjebak dengan dadah," katanya pada sidang media pelupusan Barang Kes Dadah 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Katanya, masalah dadah di kawasan Felda terbukti menerusi Operasi Jihad Dadah apabila seramai 162 orang ditahan di Seremban, Tampin, Jelebu dan Jempol di mana daerah berkenaan mempunyai kawasan Felda yang luas.

Sementara itu mengenai pelupusan dadah, beliau berkata, nilai rampasan dianggarkan RM23.5 juta membabitkan pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses bahan terlarang terbabit.

"Kesemua barang kes dadah ini dibuat selepas selesai perbicaraan dan masih tersimpan di stor membabitkan 1,469 kertas siasatan untuk tahun lalu dan tahun ini.

"Polis amat serius dalam membanteras masalah dadah habis-habisan dengan memberi fokus kepada tangkapan terhadap pengedar termasuk menyita aset mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:40 PM