Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan 432 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam Op Tapis Khas 2/2024 yang dilancarkan di seluruh negeri ini pada Isnin lalu hingga kelmarin. FOTO POLIS JOHOR
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan 432 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam Op Tapis Khas 2/2024 yang dilancarkan di seluruh negeri ini pada Isnin lalu hingga kelmarin. FOTO POLIS JOHOR
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan 432 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam Ops Tapis Khas 2/2024 yang dilancarkan di seluruh negeri ini pada Isnin lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, operasi menyasarkan kawasan panas antaranya di bawah pentadbiran Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam, Iskandar Puteri, Kluang, Mersing, Segamat, Tangkak, Kulai, Muar dan Pontian.

"Serbuan dilakukan di kawasan Felda, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan kos rendah, jeti nelayan, 'mobile port' dan lokasi lain yang disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Menerusi operasi ini, seramai 524 individu diperiksa dan 432 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan iaitu 52 kes bekalan, 72 memiliki dadah dan 308 penagih.

"Terdapat 14 warga asing antara yang ditahan itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kumar berkata, operasi kali ini tidak membabitkan mana-mana penjawat awam dan antara yang ditahan ialah 54 suspek yang berstatus orang dikehendaki.

Katanya, semua yang ditahan berusia antara 18 sehingga 71 tahun dengan 38 suspek akan diambil tindakan mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Polis merampas dadah jenis serbuk ekstasi, syabu, ganja, pil erimin, ketamin, pil yaba, pil ekstasi, daun ketum dan air ketum.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM571,793 dan boleh digunakan oleh 32,814 penagih," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita 10 kenderaan, pelbagai barang kemas dan wang tunai berjumlah RM472,468.

Kumar berkata, bermula 1 Januari lalu hingga kelmarin, JSJN Johor secara keseluruhan berjaya membuat tangkapan seramai 5,061 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh itu, seramai 66 tokan dadah ditahan.

"Tindakan pencegahan di bawah ADB Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 diambil ke atas tokan dadah dan mereka akan dikenakan sekatan atau perintah tahanan selama dua tahun di pusat pemulihan akhlak.

"Dalam tempoh ini juga seramai 154 individu turut diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952. Tindakan ini dapat mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan mengeluarkan pengedar serta penagih dadah daripada kelompok masyarakat melalui tindakan pemenjaraan untuk tempoh lima sehingga tujuh tahun," katanya.

Bagi tempoh sama, Kumar berkata, polis merampas 1.25 tan dadah bernilai RM7.61 juta dan turut menyita harta sindiket dadah bernilai RM4.19 juta.

"Kita berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN 012-2087222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 3:04 PM