Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis sudah mengenalpasti suami kepada wanita tular di TikTok menggunakan nama 'Zoeybaddiuskamaruzaman', yang mendakwa menerima ancaman keselamatan berpunca daripada masalah rumah tangga.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan mengambil keterangan suami kepada wanita terbabit bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan semakan kita, dia (wanita tular) ada membuat beberapa laporan polis tentang masalah rumah tangga dengan suaminya.

"Kita sudah mengenalpasti suami kepada wanita itu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

MIOR Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah tugas antara Mazlan (kiri) kepada Azizi, di Ipoh, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
MIOR Faridalathrash (tengah) menyaksikan serah tugas antara Mazlan (kiri) kepada Azizi, di Ipoh, hari ini. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Mior Faridalathrash berkata, wanita itu setakat ini belum tampil untuk memberi keterangan kepada polis.

"Kita sudah mengenalpasti wanita itu dan kita meminta dia datang ke balai polis untuk memberi kerjasama untuk kita mendapatkan maklumat apa sebenarnya dimaksudkan terancam.

"Wanita itu belum memberi keterangan, dia sepertinya enggan bekerjasama, oleh kerana itu kita menghantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama untuk cuba mendapatkan apa sebenarnya masalah wanita berkenaan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menafikan pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung aduan mengenai ancaman keselamatan dikatakan berpunca daripada masalah rumah tangga, yang ditularkan menerusi Tiktok oleh seorang wanita menggunakan nama 'Zoeybaddiuskamaruzaman'.

Memetik laporan berkenaan, Mior Faridalathrash berkata, semakan mendapati pengadu ada membuat aduan dengan menghubungi Balai Polis Kampung Rapat di sini, mengenai sebuah kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya pada 7.15 pagi Jumaat lalu.

Komen negatif dilemparkan pengadu melalui video itu yang menyatakan pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduannya adalah tidak tepat dan tidak adil kepada polis.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak, hari ini.

Majlis itu antara Datuk Mazlan Santarai kepada Datuk Azizi Mat Aris yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak daripada Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi Zainal Abidin yang akan menggantikan Azizi, kepada Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Berita berkaitan

'Polis nafi tidak ambil tindakan aduan 'Zoeybaddiuskamaruzaman''

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 5:01 PM