SAMPAH berselerakan akibat perbuatan monyet liar mencari sisi makanan di dalam tong sampah di Presint 11. FOTO Samadi Ahmad
SAMPAH berselerakan akibat perbuatan monyet liar mencari sisi makanan di dalam tong sampah di Presint 11. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Gangguan monyet bukan saja merosakkan peralatan dan kelengkapan penduduk di Presint 11, di sini, malah turut menimbulkan kebimbangan haiwan itu bertindak ganas terhadap kanak-kanak.

Gangguan monyet sudah dihadapi penduduk sejak lima tahun lalu namun sejak kebelakangan ini, keadaan menjadi lebih teruk apabila banyak peralatan dirosakkan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Presint 11, Carlos Basri, 50, berkata kumpulan monyet itu sering dilihat keluar dari hutan kecil berdekatan kediaman mereka menyebabkan penduduk berada di dalam kegusaran.

Menurutnya, monyet itu berkeliaran selepas kehilangan habitat yang dibangunkan sebagai kawasan perumahan dan mula menceroboh rumah penduduk untuk mencari makanan.

Katanya, bukan setakat itu saja, haiwan berkenaan turut membuat kotoran dengan menyelongkar tong sampah untuk mencari sisa makanan.

"Penduduk gusar dengan keselamatan kanak-kanak kerana dikhuatiri ia menyerang mereka yang sedang bermain di luar rumah atau taman permainan," katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Penduduk Presint 11, Azman Abd Rashid, 70, berkata kadang-kala sampai berpuluh-puluh ekor monyet itu keluar dan penduduk tidak berani bertindak kerana ia kelihatan ganas.

Katanya, sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) ada membuat pemantauan dan menangkap haiwan terbabit, namun selepas beberapa hari monyet berkenaan datang semula mengganggu penduduk.

"Penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat turun padang membantu menangani ancaman haiwan liar itu termasuk menangkap dan memindahkannya ke kawasan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 12:12 PM