Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Malaysia kini berada di ambang kejayaan dalam menangani wabak Covid-19, walaupun belum diisytiharkan menang.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memohon rakyat sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya tahu rakyat sudah rasa gelisah tidak mahu pakai pelitup muka, namun besar harapan saya supaya kita terus berjuang melawan Covid-19.

"Jika dilihat kepada pasukan barisan hadapan, mereka baru sahaja menarik nafas lega sedikit selepas sekian lama berhempas pulas. Penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 kini menurun kepada 40 peratus di seluruh negara.

"Justeru, saya memohon semua rakyat tidak alpa dan menghargai jasa yang dilakukan pasukan barisan hadapan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang, di sini, hari ini.

KHAIRY Jamaluddin ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KHAIRY Jamaluddin ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin.

Khairy berkata, sehingga kini hampir kebanyakan negeri sudah memasuki fasa empat, melainkan dua negeri masih berada di fasa tiga iaitu Kelantan dan Sarawak.

"Kita tidak mahu disebabkan rakyat leka susulan penurunan kes, wabak berkenaan kembali meningkat sebagaimana di Eropah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 12:22 PM