ROSLI menunjukkan kesan tapak kaki harimau selepas terserempak dengan haiwan itu semalam. FOTO SAMADI AHMAD
ROSLI menunjukkan kesan tapak kaki harimau selepas terserempak dengan haiwan itu semalam. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Sepang: Penduduk sekitar Olak Lempit di sini, bimbang susulan kelibat harimau kumbang dilihat berkeliaran di kawasan ladang sawit berhampiran projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Jalan Bukit Perah di sini.

Kehadiran harimau itu turut dilihat seorang penduduk yang terserempak dengan haiwan liar itu ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan di tapak projek berkenaan semalam.

Rosli Abd Razak, 55, berkata, kelibat harimau berwarna hitam itu dilihat pada jam 7.30 petang semalam ketika dia sedang melakukan rondaan di kawasan tapak projek itu.

"Mulanya saya menyangkakan ia adalah seekor anjing namun selepas melihat saiz badannya yang besar barulah saya sedar ia adalah harimau kumbang.

"Mujur harimau itu tidak menyerang saya walaupun jarak kami hanya kira-kira 15 meter. Harimau itu kemudian beredar ke ladang kelapa sawit berhampiran," katanya.

Rosli berkata, dia turut menemui kesan tapak kaki haiwan itu sebesar tapak tangan seorang dewasa.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Warga Prihatin Kampung Olak Lempit, Ismadi Marwan berkata, kejadian itu membimbangkan penduduk yang sering berulang alik menggunakan laluan itu untuk aktiviti seharian.

Menurutnya, situasi itu pertama kali berlaku di kampung itu malah beliau bersama beberapa penduduk sudah memeriksa kesan tapak kaki haiwan itu.

"Saya sudah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera (PERHILITAN) untuk maklumkan kehadiran harimau kumbang berkenaan supaya tindakan lanjut diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 5:38 PM