Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Satu sindiket penipuan pekerjaan dikenal pasti menyasarkan warga asing dari negara jiran yang terdesak untuk bekerja sebagai mangsa, dengan tawaran gaji lumayan iaitu antara RM200 hingga RM300 sehari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima 255 laporan berhubung sindiket itu membabitkan kerugian berjumlah RM4.6 juta dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook untuk menawarkan kerja sebagai ejen syarikat pembelian barangan di platform e-dagang bagi meningkatkan rating dan jualan syarikat.

"Mangsa akan diberi tugasan (beli barang) yang perlu diselesaikan dalam tempoh tertentu dan perlu menghantar gambar produk dipilih kepada suspek sebelum membuat pembayaran ke akaun yang diberikan.

"Bagi meyakinkan mangsa bahawa itu adalah pekerjaan sah, sindiket itu akan membayar semula harga produk bagi setiap pembelian dengan tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di sini, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, proses pembelian dan bayaran semula itu adalah berulang dimulai dengan produk murah hingga mahal, dan kegagalan menyelesaikan pembelian mengikut tempoh akan dikenakan penalti dan wang ganjaran tidak dipulangkan.

Mohd Kamarudin menunjukkan carta penipuan sindiket penipuan pekerjaan pada sidang media hari ini. FOTO Aswasi Alias.
Mohd Kamarudin menunjukkan carta penipuan sindiket penipuan pekerjaan pada sidang media hari ini. FOTO Aswasi Alias.

"Apabila mangsa tidak mahu meneruskan tugasan dan menuntut bayaran wang kembali, suspek akan memberi alasan seperti ada masalah dalam pemindahan wang dan memerlukan mereka membayar lagi, sebelum mangsa sedar sudah ditipu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes terbabit yang membawa kepada penahanan 168 individu menerusi 19 operasi dalam tempoh Januari hingga semalam.

"Kami menahan 156 individu tempatan termasuk 38 wanita, tujuh lelaki serta empat wanita warga China dan seorang wanita warga Thailand di ibu negara, Selangor, Johor, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan.

"Siasatan kes ini dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 selain tindakan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran kerja secara dalam talian bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Sindiket ini akan sentiasa berfikir di luar kotak untuk menjerat mangsa. Kita perlu berhati-hati dan jangan sewenang-wenangnya tertarik dengan tawaran yang nampak menarik tanpa apa-apa usaha," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 4:58 PM