GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Sarjan yang diberhentikan Tentera Darat Malaysia (TDM) kerana ingkar arahan menerima vaksin Covid-19 bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan kebenarandifailkan Wan Ramli Wan Seman, 39, melalui prosiding secara atas talian, hari ini.

Mahkamah diberitahu permohonan terbabit tidak mendapat bantahan daripada Peguam Negara yang mewakili Kerajaan Malaysia dan empat pihak yang lain selaku responden.

Hakim kemudian menetapkan 11 November ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Wan Ramli selaku pemohon diwakili peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse manakala Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad bertindak bagi pihak responden.

Melalui permohonan kebenaran itu, Wan Ramli menamakan Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima TDM Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Beliau menuntut perisytiharan bahawa surat pemberhentian perkhidmatannya bertarikh 4 Ogos lalu adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan.

Melalui afidavit sokongannya, Wan Ramli dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan berkata, beliau sudah berkhidmat dalam ATM selama 19 tahun tanpa sebarang rekod disiplin.

Menurutnya, tarikh penamatan perkhidmatan asalnya adalah pada 2 Januari 2023, bagaimanapun beliau dipecat secara tidak terhormat pada 26 Ogos lalu mengikut empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972.

Katanya, akibat pemberhentian itu, hak pencennya dinafikan mengikut Artikel 147 Perlembagaan Persekutuan.

Selain perisytiharan itu, beliau turut memohon kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Ogos lalu, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM dalam kenyataan itu berkata, ia susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu terutama sebelum melaksanakan penugasan di mana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:38 PM