Rosmah hadir bagi mendengar keputusan rayuan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan di Mahkamah Rayaun Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rosmah hadir bagi mendengar keputusan rayuan menggugurkan Sri Ram sebagai ketua pendakwaan di Mahkamah Rayaun Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah berhubung projek solar hibrid yang dihadapinya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes itu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara menolak rayuan berkenaan selepas membenarkan bantahan awal pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden.

Hanipah dalam penghakiman berkata, panel sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati mahkamah jenayah tiada bidang kuasa untuk memutuskan perisytiharan yang dipohon oleh Rosmah bahawa pelantikan Sri Ram adalah tidak sah.

Hakim itu berkata, pendakwa raya mengemukakan bantahan awal dengan menyatakan bahawa apa yang diputuskan mahkamah tinggi bukan keputusan akhir dan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar rayuan bagi mendapatkan perisytiharan.

Hanipah berkata, Rosmah melalui notis usulnya, memohon relif berbentuk perisytiharan, dan mahkamah berpandangan ia mesti tertakluk di bawah perkara yang dibenarkan oleh Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Beliau berkata, bagaimanapun tiada peruntukan dalam KAJ yang memberikan kuasa kepada mahkamah untuk membenarkan perisytiharan seperti dipohon Rosmah.

"Berdasarkan alasan ini, kami berpendapat mahkamah tinggi dalam melaksanakan kuasa prosedur jenayahnya, tiada bidang kuasa untuk membenarkan relif yang dipohon oleh perayu.

"Sehubungan itu, kami membenarkan bantahan awal kedua yang dibangkitkan oleh responden dan tidak akan menimbangkan bantahan awal pertama. Dengan itu, kedua-dua rayuan perayu ditolak," katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pendakwa raya yang diwakili Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib serta peguam Rosmah yang diwakili Datuk Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram daripada mengetuai perbicaraan kes rasuahnya.

Dalam keputusannya, Mohamed Zaini berkata, pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan).

Perbicaraan kes rasuah itu kini di peringkat bela diri yang akan bersambung pada 8 Disember ini.

Sementara itu, di awal prosiding Jagjit memohon maaf kepada mahkamah kerana Rosmah gagal hadir pada prosiding rayuan yang sepatutnya didengar Khamis lalu.

Rosmah hadir di mahkamah hari ini dengan memakai kurung moden berwarna putih berbunga merah jambu.

"Kami menyatakan permohonan maaf yang mendalam kepada Yang Arif kerana ketidakhadiran perayu (Rosmah) minggu lalu. Beliau dengan ikhlas memohon maaf kepada mahkamah," kata Jagjit.

Pada 2 Disember lalu, panel melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap Rosmah dan memberikan peluang dengan memerintahkannya hadir hari ini.

Dalam prosiding itu, Jagjit menjelaskan, Rosmah masih berada di Singapura kerana terdapat perubahan kepada jadual memandangkan perubahan peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 4:16 PM