Wan Ramli Wan Seman
Wan Ramli Wan Seman
Farah Marshita Abdul Patah

Kuala Lumpur: Bekas sarjan tentera memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan Tentera Darat Malaysia (TDM) memberhentikan perkhidmatannya hampir 20, selepas ingkar arahan untuk mengambil vaksin.

Wan Ramli Wan Seman, 39, memfailkan permohonan itu terhadap Leftenan Kolonel Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima TDM Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, TDM dan kerajaan sebagai responden.

Wan Ramli selaku pemohon, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Suzana Norlihan & Co.

Dalam permohonan itu, Wan Ramli turut memohon satu deklarasi bahawa surat pemberhentian bertarikh 4 Ogos lalu adalah tidak sah dan tiada kesan.

Menerusi afidavit sokongannya, Wan Ramli memaklumkan sudah berkhidmat selama 19 tahun tanpa sebarang rekod disiplin.

Katanya, tarikh penamatan perkhidmatan asal adalah pada 2 Januari 2023, bagaimanapun beliau dipecat secara tidak terhormat pada 26 Ogos lalu mengikut empat seksyen Akta Angkatan Tentera 1972.

Wan Ramli berkata, akibat pemberhentian itu, hak pencennya dinafikan mengikut Artikel 147 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau turut memohon kos dan relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Ogos lalu, TDM mengesahkan seorang anggotanya diberhentikan kerja kerana menolak pengambilan vaksin Covid-19.

TDM dalam kenyataan itu berkata, ia susulan setiap anggotanya wajib mengambil suntikan itu terutama sebelum melaksanakan penugasan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah ditetapkan.

Wan Ramli dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Rasah, Negeri Sembilan dikatakan akan kehilangan pencen yang sepatutnya diterima 16 bulan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 8:29 PM