AMINUDDIN pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
AMINUDDIN pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan berharap isu kenaikan pelbagai harga barang yang membebankan pengguna dapat diberikan perhatian Kerajaan Persekutuan pada pembentangan Belanjawan 2022, di Parlimen, Jumaat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain bahan makanan harian, kenaikan harga juga dikesan terhadap barangan pembinaan seperti dimaklumkan pihak swasta.

"Malah harga barang berupa input pertanian seperti baja, makanan ternakan dan racun juga dikesan naik mendadak.

"Situasi ini memberi kesan kepada kebanyakan rakyat termasuk golongan muda di Negeri Sembilan yang baharu sahaja menunjukkan minat menceburi bidang pertanian dan industri makanan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kerajaan negeri ingin melihat ekonomi rakyat dapat kembali pulih selepas terjejas teruk ekoran penularan Covid-19.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri menerusi belanjawan yang seimbang dan adil bagi membangunkan ekonomi negeri.

"Kami mahu melihat ekonomi Negeri Sembilan kembali berjalan dengan baik, pelaburan dapat kembali semula dan rakyat kembali gembira. Peniaga kecil, sederhana dan besar dapat meneruskan aktiviti mereka.

"Ramai mengharapkan ekonomi dapat pulih secepat mungkin, namun begitu ia juga akan bergantung kepada faktor lain terutama dari pihak yang mengawal harga berkenaan.

"Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diharap dapat memberikan perhatian terhadap permasalahan ini dalam Belanjawan 2022 kerana impaknya akan dirasai semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:09 PM