DATUK Hajiji menunjukkan teks ucapan Belanjawan Sabah 2022 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
DATUK Hajiji menunjukkan teks ucapan Belanjawan Sabah 2022 bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Belanjawan kedua kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentangkan hari ini menyaksikan peruntukan RM4.596 bilion disediakan bagi menampung perbelanjaan perbekalan dan pembangunan di Sabah tahun hadapan.

Belanjawan dengan tema 'Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera' terbabit mencatat lebihan bernilai RM110.68 juta berdasarkan unjuran hasil RM4.707 bilion yang disasar diperoleh Sabah pada 2022.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam pembentangan terbabit menyatakan harga purata minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum adalah lebih tinggi berbanding kadar harga diramalkan semasa penyediaan Anggaran Hasil 2021.

"Ekoran itu, sasaran kutipan hasil tahun ini dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus atau RM430.67 juta menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 2021.

"Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion.

"Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas," katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 bertempat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan rundingan antara kerajaan negeri, Persekutuan dan Petronas bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) berjaya dimuktamadkan.

Menurutnya, persefahaman dan persetujuan dicapai antara kedua belah pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat.

"Setelah sekian lama isu legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) mendasari isu berkaitan minyak dan gas kita, perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah.

"Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal berkaitan minyak dan gas," katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata Belanjawan Sabah 2022 adalah bajet tahunan kedua di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan 29 Mac tahun lalu berpaksikan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Matlamat Hala Tuju ini untuk memacu pembangunan yang komprehensif bertunjangkan kekuatan jati diri dan keteguhan patriotisme terhadap tanah air tercinta.

Pelan terbabit ditunjangi tiga teras utama iaitu Sektor Utama Fokus Pertumbuhan Ekonomi membabitkan Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

"Sejak pelancaran SMJ, pelbagai inisiatif di bawah tiga teras utama tersebut telah dan sedang giat dilaksanakan untuk manfaat rakyat dan negeri.

"Sungguhpun pelaksanaan sepenuhnya sebahagian inisiatif di bawah pelan ini turut terkesan dengan faktor pandemik Covid-19, namun status kemajuannya adalah memberangsangkan.

"Kad Laporan Pencapaian bagi setiap kementerian akan dibentangkan secara tahunan bermula pada 29 Mac tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 5:45 PM