GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


Bachok: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang bersenjatakan pisau dan pemutar skru ketika dia bersembunyi di sebuah kedai cermin mata di Jelawat, hari ini.

Lelaki berusia 30 tahun itu melarikan diri daripada polis yang cuba menahannya di sebuah rumah sebelum memasuki kedai cermin mata.

Kejadian itu turut tular di media sosial bagaimanapun polis menafikan suspek menjadikan pekerja kedai cermin mata sebagai tebusan, sebaliknya semua pekerja sudah keluar menyelamatkan diri sekali gus memudahkan tangkapan dibuat.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kira-kira jam 12 tengah hari tadi, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok ke sebuah rumah selepas menerima laporan mengenai ugutan Jumaat.

"Bertindak atas laporan, polis ke rumah suspek untuk menangkapnya namun dia melarikan diri sambil memegang pisau serta pemutar skru.

"Suspek melarikan diri sejauh tiga kilometer dari di Kampung Seneng, Jelawat dan memasuki sebuah kedai cermin mata. Suspek kemudian mengunci pintu bilik kecil kedai itu sehingga memaksa polis menggunakan kekerasan untuk memasuki bilik itu bagi menangkapnya," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan yang diterima daripada adiknya pada Jumaat lalu.

"Adik suspek membuat laporan selepas abangnya mengugut mahu memukul selain memijak bumbung kereta adiknya sehingga kemek.

"Selain itu, suspek juga mengugut membakar kereta, rumah serta mahu mematahkan tangan adiknya. Mangsa tidak tahu mengapa suspek tidak berpuas hati dengannya.

"Bimbang keselamatan diri serta keluarga, mangsa datang ke balai untuk membuat laporan. Suspek juga adalah penagih dadah," katanya.

Beliau berkata, ketika tangkapan dilakukan, polis merampas pisau, dua batang pemutar skru, empat biji pil kuda, dan wang tunai RM515.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1957, Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 9:06 PM