Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan rampasan barangan terhadap suspek yang melakukan kegiatan ragut selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. FOTO Izzati Mohamad
Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (tengah) menunjukkan rampasan barangan terhadap suspek yang melakukan kegiatan ragut selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara. FOTO Izzati Mohamad
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga lelaki, dua daripadanya berumur 14 dan 16 tahun, ditahan di sekitar daerah ini, Selasa lalu, kerana terbabit dengan kes ugut dengan pemutar skru dan ragut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, selain dua suspek terbabit, seorang lagi suspek berusia 22 tahun dan mereka ditahan pada Op Rentap.

"Pada 19 dan 27 September lalu, kami menerima dua laporan berasingan berkaitan kejadian ragut membabitkan suspek bersenjatakan pemutar skru.

"Susulan itu, kami menjalankan Op Rentap dan pada jam 9 pagi kelmarin, kami menahan dua lelaki berusia 16 dan 22 tahun yang menunggang motosikal tidak sempurna di Kampung Paya, Pajak Song," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Hasil soal siasat, kedua-duanya didapati terbabit dengan jenayah ragut.

Menurut beliau, siasatan turut membawa kepada tangkapan membabitkan remaja berusia 14 tahun tidak jauh dari lokasi suspek pertama dan kedua ditahan.

Menurut beliau, dua suspek di bawah umur itu sudah tidak bersekolah dan mereka bersubahat dengan suspek berusia 22 tahun bagi melakukan kegiatan ragut sejak Julai lalu.

"Taktik digunakan ialah dengan mencuri motosikal setiap kali mahu melakukan kegiatan ragut seterusnya mengekori mangsa sebelum melarikan beg mangsa.

"Jika mangsa melawan, suspek mengacu pemutar skru menyebabkan mangsa ketakutan. Barangan berharga diperoleh dijual untuk membeli dadah," katanya.

Ujian saringan air kencing turut mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah.

Noorzainy berkata, dua daripada suspek turut memiliki rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:02 PM