Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Remaja lelaki menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah motosikal lain yang terbabas dipercayai mengelak lubang di Kilometer 44 Setiajaya Merang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.10 petang, mangsa berusia 17 tahun dari Kampung Tok Jiring, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal lain ditunggangi pembantu kedai makan berusia 17 tahun cuba mengelak lubang di tengah jalan.

SEORANG penunggang motosikal maut bertembung sebuah motosikal lain yang terbabas mengelak lubang  di sini, petang ini. FOTO ihsan PDRM
SEORANG penunggang motosikal maut bertembung sebuah motosikal lain yang terbabas mengelak lubang di sini, petang ini. FOTO ihsan PDRM

"Mangsa yang datang dari arah belakang bergesel dengan motosikal itu lalu terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal lain mengalami cedera ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:54 PM