Rafiqah Dahali


Papar: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengenal pasti 12 projek 'sakit' membabitkan fasiliti kesihatan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, di negeri Sabah, terdapat tiga fasiliti kesihatan yang dikategorikan sebagai projek sakit iaitu Hospital Papar, Hospital Beaufort dan Klinik Kesihatan Sikuati, Kudat.

Menurutnya, kelewatan proses pelaksanaan pembinaan Hospital Papar adalah sebanyak 11.72 peratus (89 hari); Hospital Beaufort sebanyak 45.97 peratus (553 hari) manakala Klinik Kesihatan Sikuati sebanyak 37.12 peratus (271 hari).

"Projek naik taraf Hospital Papar sepatutnya bermua 23 Mei 2017 namun mengalami kelewatan. Namun ia dijangka dapat dipulihkan dan disiapkan penghujung tahun ini dan mula beroperasi Mac tahun hadapan.

"Kita telah mendapat taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) apakah masalah dan kekangan yang dihadapi dan kita kategorikannya sebagai projek sakit.

"Kita lihat perkembangannya (proses pembinaan naik taraf Hospital Papar) pada masa kini adalah sebanyak 62 peratus dan ia agak keterbelakang sedikit daripada jangkaan kita iaitu sebanyak 70 peratus.

"Oleh itu, kita akan terus menjalankan pemantauan dan perbincangan akan dilakukan di antara KKM, JKR, kontraktor dan beberapa pihak berkepentingan lain untuk kita lihat bagaimana boleh terus memacu projek ini," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke tapak projek naik taraf Hospital Papar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib,

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Dalam pada itu, Dr Zaliha juga turut menjelaskan antara faktor kelewatan projek naik taraf Hospital Papar yang dikenal pasti di mana antaranya pandemik Covid-19 menyebabkan projek tertangguh selama tiga tahun.

"Selain itu, antara faktor lain yang dikenal pasti berkemungkinan dari sudut penyediaan pekerja oleh kontraktor dan bahan (untuk pembinaan bangunan hospital) yang menyebabkan pelaksanaan projek ini lewat,", katanya.

Dr Zaliha turut menjelaskan projek itu diluluskan dengan kos sebanyak RM98.5 juta membabitkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi wad pediatrik, wad wanita dan lelaki.

Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk kecemasan dan trauma, pengimejan (x-ray), farmasi satelit, dewan pembedahan dan jabatan serta perkhidmatan lain berkaitan.

Katanya, keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap.

 Dr Zaliha Mustafa pada sidang media selepas membuat lawatan ke tapak projek menaiktaraf Hospital Papar semasa lawatan kerja ke Sabah hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Dr Zaliha Mustafa pada sidang media selepas membuat lawatan ke tapak projek menaiktaraf Hospital Papar semasa lawatan kerja ke Sabah hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:44 PM