Amir Mamat

Melaka: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperhalusi kaedah baharu pengundian bagi mengurangkan kesesakan pada hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diputuskan 20 November ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kaedah berkenaan akan berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, panduan yang sama juga akan digunakan sepanjang kempen berlangsung.

"Dari segi SOP di pusat mengundi memang ketat (dengan) syarat vaksin, pemakaian pelitup muka, penjarakan dan sebagainya memang ada dan di peringkat urusetia serta petugas, kita tidak akan bertolak ansur.

"Kepada semua pengundi (diharap) tidak datang mengundi secara serentak, kerana tetapkan waktu 8 pagi hingga 5.30 petang, waktunya agak panjang yang mana kalau boleh warga emas (mengundi) awal pagi, yang muda biarlah lewat sedikit supaya tidak berlaku kesesakan.

"(Bagaimanapun) kita akan buat cadangan masa untuk keluar mengundi melalui aplikasi seperti Mysejahtera," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Yang ke-15 di Banda Hilir, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dan Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.

Abdul Ghani (kanan) selepas mengumumkan Hari Mengundi pada 20 November 2021 dan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Yang ke-15. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Abdul Ghani (kanan) selepas mengumumkan Hari Mengundi pada 20 November 2021 dan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Yang ke-15. FOTO SYAFEEQ AHMAD

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, kaedah serta SOP muktamad mengenai pelaksanaan pilihan raya berkenaan masih di peringkat rundingan bersama MKN, KKM dan PDRM.

Beliau turut memberitahu, SPR dijangka membelanjakan sejumlah RM46 juta bagi PRN itu selepas mengambil kira situasi negara yang masih berada dalam fasa pandemik Covid-19.

Selain itu, kira-kira 70 peratus daripada 495,196 pengundi disasar akan keluar mengundi, malah sasaran itu lebih rendah berbanding jumlah biasa pada penganjuran pilihan raya sebelumnya berikutan faktor Covid-19.

"Bagi pihak SPR kalau boleh sememangnya kita mahu sasaran yang positif, tetapi memandangkan faktor Covid-19, sasaran itu agak rendah yang mana selalunya kita menetapkan 80 peratus akan keluar mengundi," katanya.

Berita berkaitan

PAS sedia kerjasama hadapi PRN Melaka

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 2:30 PM