Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu urusan jual beli 'sunroof' kereta pada Februari dan Mac lalu.

Tertuduh, Koperal Mohamad Saddam Ahmad Zaidun, 30, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun dalam urusan jual beli 'sunroof' Proton Inspira dengan mendorong lelaki itu membayar wang pendahuluan RM500.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 480, Tingkat Perusahaan 4B, Kawasan Perusahaan Perai di sini pada 1 Februari lalu, jam 11.12 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Saddam didakwa memperdaya lelaki berusia 21 tahun dalam urusan jual beli 'sunroof' kereta Toyota Camry dengan mendorongnya membayar pendahuluan RM500.

MOHAMAD Saddam (tengah) dibawa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas dua pertuduhan menipu berhubung urusan jual beli ‘sunroof’ dua buah kereta pada Februari dan Mac lalu. FOTO Danial Saad
MOHAMAD Saddam (tengah) dibawa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas dua pertuduhan menipu berhubung urusan jual beli ‘sunroof’ dua buah kereta pada Februari dan Mac lalu. FOTO Danial Saad

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah unit, Tingkat 1, Flat D2, Jalan Perai Jaya 3, Bandar Perai Jaya 3, Perai pada 8 Mac lalu, jam 8.12 malam.

Mohamad Saddam didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terbabit mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani dan Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan menetapkan 24 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

#kw koperal, polis, tuduh, tak mengaku, tipu, jual beli, sunroof, kereta, mahkamah, Bukit Mertajam

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 2:08 PM