Fairuz Zaidan


“DALAM dunia ini, kita tidak boleh terlalu mudah percayakan orang, ada sahaja cara orang hendak menipu.

“Jadi cikgu, kita kena ambil pengajaran. Saya sendiri, ada dihubungi orang yang mendakwa dari Mahkamah Putrajaya, agak-agaklah hendak menipu mahkamah mana buka hari Ahad,” tegur Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Teguran itu dibuat terhadap tertuduh, Haslina Mohd Dewa, 48, yang juga seorang guru sekolah menengah di Seremban, Negeri Sembilan yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun bank pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 17 Julai hingga 2 Ogos tahun lalu antara 11.12 pagi hingga jam 4.39 petang di Hospital Melaka didakwa secara tidak jujur telah menyembunyikan dan mengalihkan harta melalui akaun Hong Leong Bank milik sendiri iaitu wang hasil penipuan tipu urusan jual beli kereta daripada P Subahtra berjumlah RM23,200.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Manakala, tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh memohon hukuman diringankan dengan mengambil kira tertuduh telah 22 tahun berkhidmat sebagai pendidik, selain menanggung empat anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohamad Izwan mengenakan hukuman RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 4:08 PM
HASLINA diiringi polis di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
HASLINA diiringi polis di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.