Seorang pemandu e-hailing, Noridah Abd Aziz,  39, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini,  atas 40 pertuduhan menipu urusan jual beli tanah berjumlah lebih RM2.4 juta,  tahun lalu. FOTO FARID NOH
Seorang pemandu e-hailing, Noridah Abd Aziz, 39, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas 40 pertuduhan menipu urusan jual beli tanah berjumlah lebih RM2.4 juta, tahun lalu. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


SEORANG pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas 40 pertuduhan menipu urusan jual beli tanah berjumlah lebih RM2.4 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Noridah Abd Aziz, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini.

Noridah bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa menipu seorang pemilik kedai motosikal, P Krishnan

Noridah dikatakan memperdayakan Krishnan bahawa dia akan menguruskan urusan jual beli tanah di Forest City bagi pihak lelaki berkenaan.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM2.483 juta ke dalam akaun sebuah bank tempatan menerusi beberapa transaksi, di sekitar Johor Bahru antara Mac hingga Julai, tahun lalu.

Noridah dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat selain denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Choon Yew memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan berikutan kes mengikut seksyen berkenaan tidak membenarkan jaminan diberikan kecuali dengan ihsan mahkamah.

Choon Yew juga memohon supaya pasport tertuduh diserah kepada mahkamah selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan kediamannya pada setiap bulan.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM5,000 setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan nilai keseluruhan jaminan adalah RM200,000.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 2:03 PM