ANTARA lombong emas haram yang ditemukan pihak berkuasa. FOTO arkib NSTP
ANTARA lombong emas haram yang ditemukan pihak berkuasa. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Lahad Datu: Seramai 14 pelaku termasuk wanita dipercayai terbabit dengan kegiatan melombong emas secara haram dengan penemuan 103 lubang dan terowong aktif baharu dikorek, dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua di sini oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Ogos lalu.

Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisiner Toipi Lamat berkata, individu terbabit dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan asing, selain berkemungkinan pendatang tanpa izin dan penilaian itu dibuat berdasarkan analisa lapangan di enam kawasan penempatan sementara pelombong itu.

Beliau berkata, terbaru ketika melakukan pemeriksaan ke kawasan itu pada 8 Oktober lalu, PGA berjaya menemukan senjata seperti bakakuk, sejenis senapang patah buatan sendiri dan peluru hidup di kawasan penempatan sementara yang turut dirobohkan.

"Sebanyak enam kawasan membabitkan penempatan sementara ditemukan, iaitu pondok diduduki pelombong berkenaan di kawasan Sungai Bole lokasi berlaku kegiatan haram itu. Tempat tidur mereka sekurang-kurangnya ada 14 orang dengan tidak kurang ada dua wanita turut bersama, ini penilaian kami.

"Tiada suspek khusus setakat ini. Setiap kumpulan (melombong) biasanya tiga orang, seorang mengorek dalam terowong jajaran emas mendatar, seorang lagi mengangkut tanah dikorek daripada jajaran emas itu keluar ke permukaan tanah, seorang lagi mendulang emas di sungai berhampiran," katanya kepada Bernama.

Pada 20 Ogos lalu, PGA melalui Op Khazanah bersama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Tabung Hidupan Liar, menemukan lokasi aktiviti haram itu selepas menempuh 72 kilometer perjalanan bermula dari Ladang Ongkor.

Toipi berkata, pasukan operasi juga menemukan lokasi melombong emas berkenaan di sepanjang kilometer satu hingga lapan di kawasan Sungai Bole, dan di kilometer lapan sebanyak 103 lubang serta terowong dipercayai baharu dikorek.

"Susulan daripada penemuan itu, saya sendiri mengetuai pasukan ada masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan menggeledah lokasi, sekali gus membawa kepada penemuan tiga dump (kawasan simpanan) mengandungi barang makanan, peralatan, dapur, barangan peribadi serta peralatan melombong," katanya.

Beliau berkata, pihaknya pernah memanggil seorang lelaki yang mengakui selama enam tahun terbabit menjadi pengangkut serta penggali lombong emas di kawasan itu sebelum ini, dan mengikut maklumat bahawa individu terbabit ialah orang tempatan selain warga Filipina, berkemungkinan pendatang haram.

Sementara itu, Toipi berkata, Jabatan Perhutanan Sabah memiliki unit keselamatan tersendiri, bagi menangani sebarang kes yang berlaku dalam kawasan hutan simpan kelas satu kendalian jabatan itu.

"Pada kebiasaan kami masuk memerlukan kebenaran Jabatan Perhutanan Sabah namun akan memberi kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Sabah dalam membanteras jenayah," katanya.

Katanya, perbuatan pelombong itu adalah salah, kerana selain mencuri khazanah negara perbuatan itu membahayakan nyawa kerana berdasarkan risikan terdapat empat kematian pernah berlaku di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 12:07 PM