Mohd Roji Kawi

Kuching: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau diarah menutup kawasan Gunung Tabai yang menjadi tumpuan pelombong haram mencari emas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan itu diambil berikutan kejadian terbaru yang mengorbankan seorang lelaki, semalam.

Beliau berkata, pihak juga akan berbincang dengan Pejabat Residen Kuching, Pejabat Daerah Bau serta Jabatan Tanah dan Survei untuk mengisytiharkan Gunung Tabai sebagai kawasan larangan.

"Tindakan segera yang kita ambil sekarang susulan kejadian terbaharu semalam ialah menutup kawasan itu kepada orang ramai.

"Jika Pejabat Residen atau Pejabat Daerah mengisytiharkan sekitar gunung itu sebagai kawasan larangan, polis boleh bertindak menahan penceroboh dan mendakwa mereka mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959," katanya selepas Perbarisan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Aidi berkata, pelombong berdepan risiko kerana kaedah yang mereka gunakan untuk melombong di kawasan itu amat merbahaya.

Difahamkan, pelombong haram membina terowong di dalam gua dengan ada yang mencecah kedalaman sehingga 80 meter, selain tidak disediakan langkah-langkah keselamatan.

Justeru, Aidi berkata, orang ramai harus sedar dan tidak melakukan perkara yang membahayakan diri sendiri.

Semalam, seorang pencari emas maut selepas terowong yang digalinya di dalam gua di Gunung Tabai, runtuh.

Mayat mangsa berusia 25 tahun itu ditemui tertimbus di bawah runtuhan batu oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 4.30 petang.

Bagaimanapun, difahamkan mayat mangsa masih belum dapat dibawa keluar dari kawasan runtuhan itu berikutan keadaan terowong yang sempit dan dindingnya rapuh.

Operasi untuk mengeluarkan mayat mangsa diteruskan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini.

Kemalangan maut itu adalah yang ketiga berlaku di dalam gua bekas lombong emas di kaki gunung berkenaan.

Pada 2011, lelaki berusia 19 tahun maut manakala seorang lagi berusia 37 tahun parah selepas dihempap batu akibat terowong sempit runtuh.

Pada 2012, seorang lagi pemburu emas maut di gua berkenaan akibat runtuhan terowong dan keluarganya merelakan jasad lelaki berusia 30-an disemadikankan di bawah runtuhan berikutan kesukaran mengeluarkannya kerana faktor keselamatan pasukan penyelamat.

Sementara itu, Aidi, berkata pihak lega apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan perbarisan Hari Polis Ke-214 diadakan.

"Perbarisan hari ini kami jalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 1:10 PM