Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor menjangkakan peningkatan 40 peratus jumlah kenderaan yang masuk atau keluar menerusi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, setakat petang ini keadaan aliran trafik di negeri ini masih terkawal dan berjalan lancar.

Katanya, pemantauan yang dijalankan di pintu keluar masuk tol negeri inisejak awal pagi mendapati pergerakan kenderaan di lebuh raya berjalan lancar dan tiada kesesakan luar biasa berlaku.

"Biasanya purata kenderaan harian yang melalui Lebuhraya Utara-Selatan adalah kira-kira 17,000 kenderaan sehari ketika ini.

"Namun begitu, kita jangka akan berlaku kesesakan dan peningkatan kenderaan di lebih raya dan di jalan-jalan negeri sebanyak 40 peratus pada hujung minggu ini.

"Ia membabitkan purata kenderaan harian meningkat kepada antara 19,000 hingga 21,000 kenderaan atau lebih banyak daripada itu," katanya ketika menjalankan pemantauan aliran trafik di Plaza Tol Skudai, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula hari ini secara serentak di seluruh negara.

Sementara itu, Khairul Azhar berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya merancang perjalanan sebaiknya dan memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik.

Katanya, orang ramai juga diingatkan untuk memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kebenaran rentas negeri ini juga terpakai kepada kenderaan perdagangan dan tidak ada sekatan dikenakan kepada kenderaan berat itu untuk beroperasi.

"Oleh itu, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas," katanya.

Keadaan lalulintas terkawal di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan lalulintas terkawal di kedua-dua arah Lebuhraya Utara Selatan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:00 PM