KEADAAN trafik di Lebuhraya Karak menghala  Kuala Lumpur     bergerak perlahan, petang semalam.
KEADAAN trafik di Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur bergerak perlahan, petang semalam.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jalan dan lebuh raya utama ke ibu negara mula mengalami kesesakan sejak semalam apabila warga kota mula pulang selepas menyambut Aidilfitri di kampung masing-masing.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia, terdapat peningkatan jumlah kenderaan bermula awal pagi semalam membabitkan dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan dan Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke ibu kota.

Beliau berkata, kebanyakan warga kota mula pulang dari kampung masing-masing dan dijangka hari ini dan esok mengalami peningkatan jumlah kenderaan yang tinggi.

“Keadaan trafik hari ini (semalam) di Lebuhraya Utara-Selatan terkawal cuma berlaku beberapa kesesakan terutama membabitkan laluan Kuala Kangsar ke Jelapang, Permatang Pauh ke Seberang Prai, Bukit Gantang ke Bukit Berapit dan Simpang Pulai ke Hentian Sebelah Pulai.

“Lebuhraya KLK pula setakat ini hanya membabitkan laluan Bentong ke Bukit Tinggi manakala yang lain lancar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, laluan dari selatan ke ibu kota lancar dan tiada kesesakan direkodkan.

“Kemungkinan berlaku pertambahan trafik pada Sabtu dan Ahad ini berikutan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas seminggu menyambut Aidilfitri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 8:11 AM