KEADAAN lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara sesak, malam ini, FOTO Mohd Azren Jamaludin
KEADAAN lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara sesak, malam ini, FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


MENJELANG hari mengundi esok, orang ramai berpusu-pusu keluar dari Bandaraya Johor Bahru untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Superintendan Razak Md Said berkata, jumlah kenderaan yang keluar dari bandar raya ini meningkat sejak petang tadi, dan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke utara bergerak perlahan.

“Sejak petang tadi, memang berlaku sedikit kesesakan lalu lintas di Plaza Tol Skudai ke lebuh raya arah utara.

“Kita percaya jumlah kenderaan meningkat berikutan esok adalah hari cuti kerana mengundi, dan orang ramai dipercayai hendak pulang ke pusat mengundi masing-masing,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

NSTP turut meninjau keadaan di Plaza Tol Skudai yang menunjukkan lalu lintas yang bergerak perlahan bermula dari Jalan Skudai menuju ke plaza tol berkenaan, namun masih terkawal.

Sebaliknya, lalu lintas lancar bagi arah ke selatan.

Pada masa sama, Razak turut menasihatkan semua pemandu supaya berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan had laju.

“Jangan terburu-buru dalam pemanduan dan dinasihatkan mematuhi semua peraturan dan arahan ketika di jalan raya. Diharapkan semua selamat tiba ke destinasi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 11:14 PM