Datuk Dr Yusof Yacob
Datuk Dr Yusof Yacob
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Pengumuman itu yang dibuat dalam satu sidang media di sini, pagi ini sekali gus menjawab spekulasi mengenai laporan yang mengatakan beliau keluar parti pada akhir minggu lalu.

Dalam sidang media itu yang turut di sertai beberapa Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Warisan, Dr Yusof menjelaskan keputusan itu dibuat atas kehendaknya sendiri tanpa paksaan atau dorongan daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau tidak mahu terus berpolitik sejajar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah meminta semua pemimpin bekerjasama tanpa mengira politik bagi memerangi pandemik Covid-19 dan membantu rakyat seperti dizahirkan dalam pembukaan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

"Jadi, mematuhi dan patuh kepada nasihat baginda Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, maka saya sebagai Adun Sindumin memilih untuk bekerjasama memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan Pusat.

"Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dan kerajaan Sabah demi kepentingan rakyat, untuk kestabilan politik negeri dan negara walaupun sumbangan saya ini kecil.

"Keputusan ini saya buat sendiri, bukan tekanan sesiapa. Keputusan saya atas pertimbangan untuk membolehkan saya memberi tumpuan kepada kerjasama dengan kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat di Sindumin," katanya.

Beliau berkata, keputusannya itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dr Yusof mengakui beliau dipujuk supaya tidak meninggalkan parti, namun beliau tetap dengan pendirian dan hala tuju sendiri kerana memikirkan nasib rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Katanya, jika berterusan dalam parti pembangkang, beliau sukar bekerjasama dengan pemimpin atau pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap masalah dihadapi rakyat di kawasannya.

"Kalaupun saya boleh berjumpa dengan orang kerajaan, situasinya tidak selesa selain boleh menimbulkan fitnah. Jadi, lebih baik saya menjadi ADUN Bebas supaya saya boleh berjumpa dengan sesiapa saja.

"Keutamaan saya ialah untuk memastikan rakyat di Sindumin mendapat pembelaan yang sewajarnya kerana itu yang diharapkan olrh rakyat terhadap wakil rakyat," katanya.

Dr Yusof turut membayangkan ini adalah penggal terakhir beliau menjadi wakil rakyat dan oleh itu beliau tidak mahu tempoh empat tahun lagi sebagai wakil rakyat disia-siakan.

Sementara itu, beliau berkata beberapa Ketua Penerangan Bahagian WARISAN iaitu dari Lahad Datu, Tawau, Beluran, Kudat, Sipitang dan Sepanggar serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) dari Kimanis dan Beaufort selain 15 AJK Bahagian Sipitang yang diketuainya turut bersama beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 12:42 PM