PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal bersama calon-calon Warisan. FOTO NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal bersama calon-calon Warisan. FOTO NSTP/MALAI ROSMAH TUAH
Suzianah Jiffar dan Avila Geraldine


PARTI Warisan Sabah (WARISAN) akan bertanding 17 kerusi Parlimen termasuk Labuan dan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan mempertahankan Parlimen Semporna yang disandangnya ketika bersama UMNO sejak 1995, selain turut bertanding di DUN Senallang.

Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking pula akan mempertahankan kerusi Parlimen Penampang yang dimenanginya atas tiket PKR sebelum ini, manakala Naib Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony bertanding di DUN Melalap.

Ketua Wira WARISAN Datuk Mohd Azis Jamman akan bertanding di Parlimen Sepanggar, dan dijangka berdepan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha BN Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Parti pembangkang itu turut menampilkan tiga bekas wakil rakyat BN iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang sebagai calon Parlimen Kimanis bagi menentang penyandangnya Datuk Seri Anifah Aman dari BN.

Bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V K Liew menjadi calon di Parlimen Batu Sapi, manakala bekas Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Dr Yusof Yacob akan bertanding di DUN Sindumin.

Mohd Shafie turut mengumumkan DUN Moyog ditandingi calon PKR Jennifer Lasimbang atas tikat WARISAN, sekali gus penyandang kerusi itu Terence Siambun tidak tersenarai.

Bagi kerusi panas DUN Tambunan, WARISAN meletakkan Justin Alip untuk menentang Presiden PBS yang juga abang iparnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Calon paling muda, Jo Anna Sue Henley Rampas, 28, yang juga bekas ratu cantik Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan akan bertanding di DUN Kiulu, berdepan penyandangnya Datuk Joniston Bangkuai.

Terdahulu, Mohd Shafie melancarkan manifesto parti itu yang menampilkan 13 teras utama, dibahagikan kepada empat komponen antaranya hak-hak rakyat dan enakmen kerajaan negeri yang perlu dipertahan dan diperkukuhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 5:29 PM