MEDIA Prima Berhad menganjurkan lawatan korporat Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing ke Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Rohanis Shukri
MEDIA Prima Berhad menganjurkan lawatan korporat Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Ouyang Yujing ke Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Rohanis Shukri
Azhar Shahrulnizam

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) menerima kunjungan delegasi kedutaan China bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam industri di Sri Pentas, dekat sini, hari ini.

Delegasi kedutaan China diketuai oleh Duta Besar China di Malaysia, Ouyang Yujing, kaunselornya, Zheng Xin serta setiausahanya, Tang Tang manakala Media Prima diwakili Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REV Media, Samuel Wee dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar.

Ouyang berkata, kunjungan itu bagi membincangkan secara mendalam kerjasama Kedutaan China dan Media Prima.

"Malaysia dan China mempunyai hubungan yang baik. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-48 hubungan diplomatik Malaysia-China.

"Selepas perbincangan dengan Datuk Seri (Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid), saya kagum dengan Media Prima sebagai kumpulan yang menerajui media di Malaysia.

"Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Media Prima kerana menjemput kami.

"Kami juga ingin menjemput delegasi Media Prima ke China setelah sempadan dibuka untuk mengembangkan lagi kerjasama di antara kami," katanya.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, Media Prima terbuka bagi membincangkan potensi kolaborasi yang boleh dijalankan bersama kedutaan China.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 1:56 PM