Ekhwan Haque Fazlul Haque

Petaling Jaya: Program Jom Ronda diteruskan buat tahun kedua berikutan mendapat sokongan menggalakkan daripada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia (Omnia), Datuk Michael Chan berkata, program jelajah berkenaan mendapat sokongan padu daripada Redoxon dan UMW Toyota.

Menurutnya, lebih 4,000 beg mengandungi pelbagai produk penjagaan kesihatan dan keceriaan akan diagihkan bagi berkongsi keceriaan dengan komuniti setempat di Lembah Klang.

"Pusat pemberian vaksin (PPV) serta rumah kebajikan akan dikunjungi bagi menceriakan petugas barisan hadapan dan penghuninya.

"Penaja memberi sokongan sangat menggalakkan bagi memastikan hasrat menceriakan komuniti di Lembah Klang khususnya ketika musim yang mencabar ini terlaksana.

"Penyerahan pelbagai produk daripada jenama terkemuka ini diharap dapat mencipta ikatan lebih kukuh dalam komuniti," katanya dalam pelepasan kru Jom Ronda di Sri Pentas, hari ini.

MICHAEL Chan (kanan) dan Sook Fun Leong ketika pelepasan kru Jom Ronda di Sri Pentas. FOTO Aziah Azmee
MICHAEL Chan (kanan) dan Sook Fun Leong ketika pelepasan kru Jom Ronda di Sri Pentas. FOTO Aziah Azmee

Jom Ronda kali ini akan bertemu masyarakat Lembah Klang sehingga 31 Mac ini dengan memilih 25 pemenang bertuah.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Bayer Malaysia Sdn Bhd yang juga Ketua Bahagian Negara Malaysia, Singapura dan Brunei, Sook Fun Leong berkata, Redoxon berbangga apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan kempen jelajah Jom Ronda.

"Kami sentiasa fokus untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada pengguna dan kempen ini adalah gambaran terbaik hasrat Redoxon untuk rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

"Penjagaan kesihatan kendiri menjadi perkara utama dalam masyarakat kini yang memerlukan kandungan sihat dalam diet seharian, senaman berterusan dan peningkatan pengambilan Vitamin C," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 1:28 PM