NOR Azman memohon maaf kepada rakyat Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
NOR Azman memohon maaf kepada rakyat Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Hassan Omar


Melaka: Sidang media Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan bersama-sama Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron hari ini menyaksikan Nor Azman menitiskan air mata ketika memohon maaf kepada rakyat.

Beliau mendakwa, tindakannya bersama-sama Idris dan dua lagi Adun menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kelmarin adalah semata-mata demi kepentingan rakyat.

"Saya mohon maaf kepada rakyat Melaka, saya ikhlas, bukan main-main kerana apa yang kami buat ini bukan kerana kepentingan kami," katanya sambil menitiskan air mata dan merapatkan 10 jari memohon maaf pada sidang media bersama-sama Idris di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini.

Nor Azman mendakwa, Melaka bukan dikuasai 'dua singa di atas gunung,' sebaliknya dikongsi tiga singa hingga merosakkan negeri itu.

"Kalau (Adun Sungai Udang) Datuk Seri Idris Haron kata ada dua singa di atas gunung yang menguasai negeri Melaka, saya pula katakan sebenarnya ada tiga singa yang merosakkan negeri ini," katanya.

Ketika ditanya media siapakah yang dimaksudkan sebagai singa ketiga itu, Nor Azman merujuknya kepada nama seorang pemimpin parti di peringkat bahagian di Melaka.

Idris semalam dilaporkan berkata, ada dua singa di atas gunung yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Sulaiman menjadi kelam-kabut.

Mengulas lanjut, Nor Azman mendakwa, selama ini dalam Umno Bahagian Tangga Batu, beliau dan Idris dinafikan kedudukan sebagai Adun yang dipilih rakyat dan dipinggirkan daripada program parti itu, seolah-olah mereka tidak wujud.

Beliau mendakwa, selain tidak dibenarkan mengadakan program membabitkan ahli Umno bahagian, beliau dan Idris juga tidak pernah dijemput menghadiri program Umno bahagian.

Sementara itu, Idris mendakwa beliau dan Nor Azman sudah 30 tahun bergiat dalam pelbagai aktiviti Umno di Bahagian Tangga Batu tetapi dipinggirkan oleh pihak tertentu dalam bahagian berkenaan.

"Kami sudah lama berjuang dalam Umno, bukannya orang yang terbang dari Kuala Lumpur dengan habuan tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 4:32 PM