IDRIS semasa mengumumkan menarikan sokongan terhadap Ketua Menteri semalam. FOTO arkib NSTP
IDRIS semasa mengumumkan menarikan sokongan terhadap Ketua Menteri semalam. FOTO arkib NSTP
Hassan Omar


Masjid Tanah: Persoalan sama ada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyertai parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya, bakal dirungkai esok.

Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dijadualkan mengadakan sidang media di Pusat Peranginan Qashrina milik Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di Pantai Puteri, Tanjung Kling pada jam 11 pagi esok.

Sumber berkata, selain Nor Azman, dijangka turut hadir ialah Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu).

Katanya, persoalan penyertaan dalam PH oleh keempat-empat Adun terbabit adalah antara aspek yang bakal disentuh, selain berkaitan hala tuju mereka selepas mengisytiharkan tidak lagi menyokong Sulaiman semalam.

Sementara itu, sumber lain berkata, Nor Azman hadir pada sidang media Idris di sebuah hotel di Bandar Raya Melaka semalam dalam keadaan berkerusi roda kerana belum pulih sepenuhnya sejak dijangkiti Covid-19 pada 13 September lalu.

"Bagaimanapun, keadaan Datuk (Nor Azman) semakin baik dari semasa ke semasa dan beliau lebih banyak menghabiskan masa dengan berehat di kediamannya.

"InsyaAllah beliau akan hadir pada sidang media esok bagi menjawab pelbagai persoalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu berkata, Nor Azman disahkan positif Covid-19 pada 13 September lalu dan selepas menjalani ujian calitan berikutan dua kakitangan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Pantai Kundor disahkan positif Covid-19.

Beliau menjalani kuarantin kendiri tetapi terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Melaka pada 22 September lalu selepas muntah dan pening.

Berikutan sedang menjalani kuarantin dan rawatan, Adun terbabit terpaksa menghadiri Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-14 secara hibrid.

Katanya, Nor Azman dibenarkan keluar wad pada 28 September lalu tetapi masih dalam keadaan belum sembuh seperti sedia kala.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Nor Azman yang mewakili Barisan Nasional (BN) ketika itu menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (Pas) dengan majoriti 772 undi.

Idris (BN) menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi manakala Norhizam (DAP) mengalahkan Chua Lian Chye (BN) dan Ramli Dalip (PAS) dengan majoriti 2,756 undi.

Noor Effandi menewaskan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN) dan Fendi Ahmad (PKR) dengan majoriti 1,288 undi.

Norhizam keluar daripada DAP selepas PH tumbang kepada BN pada Mac 2020 dan kekal menjadi Adun Bebas hingga sekarang manakala Noor Effandi kekal bersama-sama Bersatu.

Keahlian Idris dan Nor Azman dalam Umno didakwa Pengerusi Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sudah terlucut secara automatik berikutan tindakan menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:43 PM