Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedang meneliti keperluan mewujudkan satu mekanisma kawal selia syarikat pelancongan dalam talian (OTA) dan premis penginapan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tiada sebarang undang-undang atau peraturan kawal selia syarikat OTA di negara buat masa ini.

"Kawal selia itu nanti bukan saja boleh memastikan kualiti premis penginapan yang baik, malah turut boleh dijadikan sebagai kerjasama antara kementerian dan pemegang taruh bagi meningkatkan industri pelancongan ke tahap lebih baik.

"Penelitian itu antara lain turut melihat kepada isu kadar komisen yang dikenakan oleh syarikat OTA kepada premis penginapan," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman yang bertanya sama ada kementerian bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA berikutan kadar dikenakan 12 hingga 18 peratus bagi setiap harga bilik amat membebankan.

NANCY di Dewan Rakyat. FOTO Parlimen Malaysia
NANCY di Dewan Rakyat. FOTO Parlimen Malaysia

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pengoperasian dan kerjasama antara syarikat OTA dengan premis penginapan pelancongan serta transaksi pengguna adalah persetujuan kesemua pihak terbabit.

Katanya, ia termasuk penetapan kadar komisen yang berdasarkan persetujuan aturan perniagaan kedua pihak iaitu OTA dan premis penginapan pelancongan.

Justeru, beliau berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira dalam memutuskan sesuatu dasar seperti kuasa pasaran, pembangunan digitalisasi dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Tambah beliau, ia bukan hanya menyentuh bidang kuasa Motac semata-mata, malah boleh merentasi bidang kuasa kementerian lain seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 11:13 AM