DATUK Seri Dr Ahmad  Zahid Hamidi.
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan bagi memberi semula mandat kepada rakyat memilih kepimpinan negeri itu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian susulan tindakan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkuatkuasa hari ini.

"Saya tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah.

"Saya fikir elok kalau diadakan PRN negeri yang baharu supaya Dun dibubar dan kita beri mandat semula kepada rakyat untuk memilih mana kerajaan yang terbaik untuk mentadbir negeri dan negara kita, insya-Allah," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Tiga Adun yang turut menarik sokongan kepada kerajaan negeri ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris, Noor Effandi dan Norhizam Hassan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertarikh 30 September lalu diserahkan kepada Sulaiman di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh, pagi tadi.

Kerajaan Melaka yang diterajui BN dibentuk pada Mac tahun lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang berikutan empat Adun ketika itu memberikan sokongan kepada gabungan PN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:42 PM