Norhizam, gambar fail. FOTO Bernama
Norhizam, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Melaka: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, keputusan sama ada beliau dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bergantung kepada keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) kelak.

Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam laman Facebook pemimpin parti itu hari ini yang menolak beliau sebagai calon PH pada PRN itu adalah pendapat parti itu (DAP) semata-mata.

"Itu hanya pendapat DAP, kita nantikan keputusan PH," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Norhizam yang bertanding atas tiket DAP, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Chua Lian Chye dan calon PAS, Ramli Dalip dengan majoriti 2,756 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dun Melaka pada 4 Oktober lalu susulan empat Adun menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas Adun berkenaan ialah Norhizam, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 10:57 PM