Datuk Masidi Manjun
Datuk Masidi Manjun
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memberi kebenaran penganjuran majlis rasmi kerajaan dan swasta secara bersemuka yang akan berkuat kuasa bermula hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, antara majlis secara bersemuka yang dibenarkan untuk dilaksanakan termasuk majlis perasmian, seminar dan bengkel.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, pihaknya memperincikan beberapa ketetapan tertentu yang harus dipatuhi.

"Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuklah perasmian dan bengkel dibenarkan dengan syarat semua yang hadir sudah lengkap divaksin dan kapasiti 50 peratus ruang premis.

"Bagi individu yang belum divaksin atas masalah kesihatan atau perubatan yang disahkan oleh pegawai perubatan berdaftar, perlu menjalani ujian praacara menggunakan kit ujian kendiri sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 767 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 200,396 kes.

"Sebanyak 14 kes kematian dilaporkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:50 AM