Pusat beli-belah di Bukit Bintang yang menjadi kunjungan orang ramai ketika hujung minggu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Pusat beli-belah di Bukit Bintang yang menjadi kunjungan orang ramai ketika hujung minggu. FOTO Eizairi Shamsudin.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Meskipun banyak sektor ekonomi sudah beroperasi semula termasuk pusat beli-belah, namun situasi di kebanyakan premis perniagaan dilihat masih kurang sambutan.

Begitu juga di restoran atau kedai makan yang mana hanya segelintir pelanggan memilih untuk dine-in berbanding mereka yang membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Keadaan itu diakui oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang memaklumkan jumlah pelanggan dine-in berkurangan sehingga 50 peratus berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Beliau yakin masyarakat di negara ini sudah dapat mengadaptasi norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Jika dahulu restoran mamak menjadi pilihan orang ramai melepak, tapi sekarang ini keadaan sudah berbeza apabila dah tak ada orang melepak lagi. Malah pengusaha restoran pun tak galakkan.

"Pengunjung yang dine-in akan duduk kurang daripada satu jam dan kebanyakannya hanya datang beli bungkus," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagaimanapun, Jawahar Ali berkata, perniagaan restoran amat memberangsangkan sejak dibenarkan beroperasi semula serta dine-in.

Beliau berkata, ketika ini kekangan yang dihadapi pengusaha adalah kekurangan pekerja disebabkan lebih 40 peratus pekerja warga asing sudah pulang ke negara asal.

"Walaupun waktu operasi sehingga 12 tengah malam, tapi banyak restoran yang terpaksa tutup awal kerana tiada pekerja.

"Ada pengusaha mahu menggaji pekerja tempatan, namun mereka tidak berminat untuk bekerja di restoran. Berikutan itu, kami masih memerlukan pekerja asing," katanya berharap kerajaan mempertimbangkan kebenaran bawa masuk pekerja asing lengkap vaksinasi dengan syarat tertentu yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, peniaga kosmetik, Asneda Md Akhir, 36, berkata, dia amat menitikberatkan pematuhan SOP dengan hanya membenarkan individu lengkap vaksinasi masuk ke dalam premis bagi mengelak penularan wabak.

Dia yang menjalankan perniagaan itu di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, sebelum ini hanya menerima pelanggan secara janji temu sahaja sebelum membuka premis kepada orang ramai.

"Perniagaan baru mula nak dapat sambutan kembali selepas lama tidak beroperasi. Alhamdulillah, bertambah baik tapi orang ramai masih memilih membeli secara dalam talian," katanya.

Bagi Nor Waheeda Abu Zarin, 39, yang menjual pakaian muslimah terpaksa menutup kedainya di Kuantan, Pahang selepas menanggung kerugian akibat pandemik dan kini mengusahakan perniagaan secara dalam talian sepenuhnya.

Berdasarkan penelitiannya, Nor Waheeda berkata, orang ramai masih membuat pembelian dalam talian meskipun sektor ekonomi sudah mula beroperasi secara fizikal.

"Saya sendiri lihat keadaan di pusat beli-belah dan premis perniagaan masih tak ramai orang datang. Ini mungkin kerana orang sudah selesa dengan budaya norma baharu iaitu buat pembelian dalam talian dan keluar untuk beli barang keperluan saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 9:19 PM