GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Hampir 100 peratus ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) beroperasi seawal Syawal kedua, minggu lalu untuk memudahkan orang ramai mendapatkan makanan dan menikmati hidangan selain juadah raya.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya melihat pengoperasian awal itu sebagai tanggungjawab sosial kepada pelanggan mereka di seluruh negara yang berdepan kesukaran membeli makanan disebabkan banyak restoran lain masih tutup.

Katanya, berdasarkan maklum balas ahli, pihaknya berpuas hati dengan langkah itu walaupun rata-rata pekerja terpaksa berhari raya di restoran.

"Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, kita 'berkorban' meraikan hari raya dalam suasana kerja kerana banyak restoran dan kedai makan lain masih tutup.

"Rata-rata pelanggan yang ditemui lega kerana restoran mamak sudah buka seawal hari raya kedua. Kita faham keadaan itu dan bersyukur kerana dapat membantu memudahkan pelanggan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berikutan itu, Jawahar Ali menyelar tanggapan sesetengah pihak mengenai restoran mamak yang dikatakan sengaja mengaut keuntungan hasil perayaan bangsa lain seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

"Sudah banyak kali ditimbulkan isu rasis seperti ini seolah-olah restoran mamak mementingkan keuntungan semata-mata.

"Jangan silap, pekerja kami juga Muslim, menyambut hari raya sama seperti orang lain. Untuk apa isu seperti ini diketengahkan, saya pun tidak tahu. Tidak ada asas langsung," katanya.

Menerusi kenyataan tular itu, Aidilfitri yang diraikan umat Islam dikatakan memberi kelebihan kepada pengusaha restoran mamak untuk mengaut keuntungan dengan beroperasi ketika banyak kedai makan lain tutup.

Isu itu mendapat reaksi pelbagai warganet dengan kebanyakannya mendakwa kenyataan seperti itu hanya membangkitkan sentimen perkauman, sedangkan pengusaha dan pekerja restoran Muslim juga adalah saudara seagama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:29 PM