Tinjauan premis makanan sekitar Kuala Lumpur yang masih belum membenarkan makan di restoran pada hari pertama selepas kerajaan membenarkan aktiviti 'Dine in' di negeri Fasa 1 pada pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Tinjauan premis makanan sekitar Kuala Lumpur yang masih belum membenarkan makan di restoran pada hari pertama selepas kerajaan membenarkan aktiviti 'Dine in' di negeri Fasa 1 pada pelan Pemulihan Negara (PPN). FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun makan di premis dibenarkan bermula hari ini, segelintir peniaga kedai makan atau restoran masih meneruskan perniagaan secara bawa pulang atau take away.

Pemilik sebuah kafe di Taman Bukit Desa, di sini, Desonny Tuzan, 47, berkata dia tidak mahu mengambil risiko dengan membenarkan makan di premisnya bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

"Saya tidak mahu ambil risiko buka kedai untuk dine-in kerana kes Covid-19 masih tinggi dan hanya akan beroperasi (untuk dine-in) sekiranya jumlah kes rendah nanti.

"Jika diikutkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan kafe ini beroperasi secara take away, pendapatan yang diraih tidak begitu tinggi kerana ia turut dikongsi bersama penghantar makanan.

"Namun, ia adalah langkah terbaik berbanding risiko premis terpaksa ditutup selama 14 hari sekiranya ada kes Covid-19 dilaporkan jika pelanggan boleh dine-in," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, ada beberapa faktor lain menjadi pertimbangannya dalam membuat keputusan untuk tidak beroperasi secara dine-in termasuk kawasan sekitar premis berkenaan adalah zon merah.

"Jika dilihat berdasarkan semakan di aplikasi MySejahtera hari ini, kira-kira 100 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan sekitar premis ini.

"Jumlah kes yang banyak itu amat membimbangkan saya dan sekiranya kafe ini beroperasi secara dine-in, ia akan meningkatkan risiko jangkitan dalam kalangan pekerja nanti," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai makan di Bukit Bintang, di sini, Gun Eng Chuan, 38, berkata terdapat peningkatan dari segi jumlah pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan susulan kebenaran aktiviti dine-in.

"Jika dilihat dari segi pelaksanaan operasi, ia tidak banyak beza dengan sebelum ini iaitu ketika take-away. Cuma kami perlu melayan pelanggan yang berada di premis selain penambahan SOP (prosedur operasi standard) baharu.

"Diharap dengan kebenaran (dine-in) ini berterusan kerana ia akan membantu meningkatkan jumlah pelanggan sekali gus pendapatan peniaga," katanya.

Bagi pengunjung kedai makan, Rosdi Rosli, 37, keputusan untuk dine-in di restoran adalah pilihan masing-masing dengan pertimbangan risiko jangkitan Covid-19 terutama mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

"Walaupun sudah dibenarkan, namun kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjaga SOP. Contohnya, saya memilih untuk dine-in di restoran yang tidak sesak bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Pada masa sama, saya belajar untuk hidup dengan norma baharu ini memandangkan adalah mustahil untuk kita merekodkan sifar kes Covid-19 dalam waktu terdekat.

"Apabila kelonggaran ini diberikan, ia pasti memberikan kelegaan kepada peniaga kecil untuk 'bernafas' semula dengan mendapatkan lebih ramai pelanggan jika dibandingkan secara take away sahaja," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di ibu kota mendapati kebanyakan restoran serta kedai makan masih belum beroperasi secara dine-in, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kemudahan tambahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu yang sudah menerima vaksinasi lengkap diperluaskan termasuk aktiviti 'dine in' dibenarkan di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula hari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan beliau, semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:13 PM