Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengoperasian institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Melaka dan Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa mulai 1 November ini.

Pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa Tiga PPN bagi Kedah dan Kelantan pula akan bermula pada 31 Oktober, manakala Pulau Pinang, Perak dan Sabah mulai 1 November.

KPM menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan perubahan ketetapan pengoperasian itu adalah selaras peralihan Fasa 3 kepada Fasa Empat PPN bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Melaka serta Fasa 2 kepada Fasa 3 PPN bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah yang semuanya berkuat kuasa esok.

"Negeri yang beralih ke Fasa 4 PPN akan membabitkan kemasukan murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah pada 1 November.

"Sementara kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan satu dan dua sekolah menengah pada 8 November, iaitu seminggu selepas negeri berkenaan memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN," menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, negeri Fasa 3 PPN akan membabitkan kehadiran murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi.

Kehadiran turut membabitkan pelajar tingkatan enam Semester 2, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa lain.

KPM sebelum ini memutuskan, apabila negeri beralih ke fasa PPN yang seterusnya, semua institusi pendidikan di negeri itu hendaklah beroperasi mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 10:49 AM