Foto hiasan
Foto hiasan
Samadi Ahmad

Putrajaya: Semua Tabika Perpaduan dibenarkan beroperasi secara bersemuka bermula 1 Mac ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pembukaan itu selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang membenarkan sekolah mula beroperasi pada awal Mac.

Menurutnya, kementeriannya juga akan memastikan pengoperasian ini tertakluk kepada pematuhan ketat serta garis panduan pembukaan semula prasekolah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau juga mengingatkan semua guru agar sentiasa memastikan kanak-kanak Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 19 Februari lalu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, tahun satu dan dua di sekolah rendah seluruh negara manakala tahun tiga, empat, lima dan enam bermula pada 8 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 12:57 PM